Saturday 23 March 2024

Amalan-amalan ketika Umrah Ramadhan (Persoalan Terawih berapa Rakaat)


Daripada blog "Uhjz3m" (UmrahHajiZiarah3MasjidUtama)
بسم الله و الحمد لله و الصلاة و السلام على رسول الله
و بعد
Alhamdulillah.
Selayaknya, seseorang hamba yang telah dipilih Allah untuk menjadi tetamuNya pada bulan Ramadhan, bersyukur kepada Allah dengan kesyukuran yang tertinggi sebab ia merupakan kurniaan Allah yang amat besar dan hebat kepada dirinya. Betapa tidak, dengan melakukan Umrah pada bulan Ramadhan, tidak kira pada awal, pertengahan atau akhirnya, seseorang itu mendapatkan ganjaran dan kelebihan seumpama menunaikan Haji bersama, beriringan, dan satu rombongan dengan Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam.
"و أنها تعدل حجة معي"
ertinya: "dan sungguh (yakni Umrah dalam bulan Ramadhan) menyamai perlaksanaan Haji bersama ku" [Sahih Sunan Abi Dawud no: 1990]
dan dengan lafaz
"فإن عمرة في رمضان تقضي حجة أو حجة معي"
ertinya "Kerana satu Umrah pada bulan Ramadhan menggantikan haji atau haji bersama ku" [Sahih al-Bukhariy no: 1863 dan Sahih Muslim no: 1256]
Setelah selesai perlaksanaan Umrahnya, selama berjiran dengan MasjidilHaram, seseorang tetamu Allah dapat mengusahakan pelbagai amalan tambahan iaitu
1. Tawaf sunat,
2. sentiasa solat fardhu 5 waktu sebagai makmum kepada Imam Masjidil Haram,
3. Solat-solat sunat lainnya,
4. I'tikaf,
5. melazimi Tilawah dengan memelihara diri tidak menjadi gangguan kepada jemaah para tetamu Allah yang lain,
6. memberi makan kepada orang-orang untuk berbuka puasa dan
7. mengikuti Solat Terawih Imam Masjidil Haram.
Timbul persoalan di sisi sebahagian tetamu Allah yang melaksanakan Umrah pada Akhir Ramadhan khususnya 10 Malam Terakhir, yang mana di samping Solat Terawih, Imam Masjidil Haram juga memimpin Solat Tahajjud atau Qiyamullail, mana satu yang afdhal untuk diikutinya atau sebaiknya semuanya diusahakan untuk diikuti? Bolehkah Solat Qiyam Ramadhan (Terawih dan Tahajjud, mengikuti kedua-duanya sekali gus)?
Berikut penjelasan
BILANGAN RAKAAT SOLAT QIYAM & ASAL-USUL PERKATAAN “TERAWIH”.
Para pembaca yang dikurniakan taufiq Allah untuk melakukan yang baik, seandainya diteliti, perkataan Terawih tiada satu hadits pun yang menyebutkannya. Maka ketahuilah bahawa Terawih, Qiyam Ramadhan dan Tahajjud serta Witir, menurut segolongan ulama, adalah solat yang satu, yang diberi nama yang berbeza kerana sebab-sebab tertentu..[1] Sebagaimana ada orang dikenali dengan berbagai nama dan gelaran padahal semuanya itu dimaksudkan buat mengenal satu orang yang sama sahaja
Sebagaimana junjungan kita Nabi Muhammad sollalLaahu 'alaihi wa sallam yang dikenali sebagai Ahmad, Al-Amiin, Abul Qaasim, Rasulullah, Khaatamun Nabiyiin, Sayid bani Adam, Khalilullah[2] dan lain-lain lagi.
Fahamilah para pembaca yang dirahmati Allah, sebahagian gelaran solat-solat itu diberikan ulama untuk memudahkan kefahaman kita. Maka asalnya dikenali sebagai Qiyam Ramadhan, kerana Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam sebutkan perkataan "قام" . Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam juga pernah sebutkan perkataan Witir dan Insya Allah, kita akan baca sendiri hadits yang menjadi hujjah ulama menamakan solat Qiyam ini sebagai solat Witir; hadits berikut:
"Adakalanya baginda berwitir 4 rakaat dengan 3 rakaat, atau 6 rakaat dengan 3 rakaat ataupun 10 rakaat dengan 3 rakaat dan tidak pernah baginda mengurangkan witir dari 7 (rakaat) dan tidak pula lebih dari 13 rakaat.” [maksud hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ahmad dan lainnya. Hadits yang baik sanadnya, yang telah dihukumkan sahih oleh Imam Al-’Iraaqi]. Adapun lafaz “Tahajjud”, maka ia terdapat di dalam Surah Al-Israa: 79.
Bagaimanakah pula dengan perkataan Terawih?
Ulama telah menggunakan perkataan ini untuk mengenalkan atau menggelarkan solat yang dikerjakan secara berjemaah, khasnya pada bulan Ramadhan sahaja. Asalnya ia adalah Qiyam yang kita bicarakan tadi kerana itulah “Terawih” yang Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam laksanakan, sebagaimana hadits Abi Dzar:
“Kami telah berpuasa bersama Rasulullah pada bulan Ramadhan, maka Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam tidak mengimamkan qiyam walau sehari pun sepanjang bulan tersebut sehinggalah hanya tinggal 7 hari (berpuasa), barulah Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam mengimamkan kami secara berjemaah sehingga berlalu sepertiga malam. Adapun pada hari ke 6 (tinggal 6 hari berpuasa), maka Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam tidak mengimamkan qiyam. Tapi pada hari ke 5 (tinggal 5 hari sahaja) baginda menjadi imam kami sehingga berlalu separuh malam. Maka aku pun berkata kepada baginda: Wahai Rasulallah, alangkah baiknya anda mengimamkan kami lagi pada malam ini? Maka baginda menjawab:
Sesungguhnya sesiapa yang solat bersama Imam sehingga Imam itu selesai solat, maka dikirakan baginya sebagai orang yang telah menghidupkan sepanjang malam
Pada hari ke- 4 (tinggal 4 hari lagi) baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam tidak berjemaah bersama kami. Tetapi pada hari ke-3 (tinggal 3 hari sahaja lagi yakni malam 27 Ramadhan) Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam mengumpulkan isteri-isteri dan ahli keluarga baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam serta para Sahabat yang ramai lalu Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam berjemaah bersama kami sehingga kami khuatir tidak sempat bersahur....” [maksud hadits sahih yang diriwayatkan oleh Ashaabus Sunan; Imam-imam Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasaa-i dan Ibnu Maajah dan lainnya]
Perkataan Terawih mula diperkenalkan oleh Ulama رحمهم الله kerana perbuatan umat Islam semenjak zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz. Diriwayatkan bahawa mereka mendirikan solat qiyam ini sepanjang malam, sebanyak 36 rakaat dengan 3 rakaat witir.[3] Maka untuk menguatkan mereka agar berterusan sepanjang malam, antara solat-solat itu (setiap selesai 4 rakaat),[4] mereka berehat sejenak, menyegarkan diri mereka, kemudian meneruskan lagi ibadat mereka. Demikianlah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah رحمه الله.[5]
Oleh kerana perbuatan mereka yang duduk berehat-rehat sejenak "تَرْوِيْحَة" di dalam bahasa Arabnya inilah, maka ia digelar Terawih[6]. Padahal ia adalah solat Qiyam juga.
Namun demikian ulama kita tidak sembarangan, sewenang-wenangnya menggelarkan itu dan ini kecuali mereka pasti kembali kepada lafaz-lafaz Syara’ (Al-Quran & As-Sunnah) dan kata-kata Sahabat dalam menamakan bab-bab atau solat tertentu, yang mereka gelarkan semata-mata untuk memudahkan kefahaman kita dan lantas mengamalkannya, sedang ada antara jenis-jenis solat ini tidak dinamakan sendiri oleh Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam.
Apabila mereka tidak menemukannya barulah mereka berijtihad. Demikianlah sikap ulama yang mengagungkan Syari’at Allah, terutamanya mereka yang hidup pada 3 kurun pertama Islam. Wallahu Ta’aala a’lam.
Bilangan rakaat Qiyam.
Adapun bilangan rakaat Qiyam atau Terawih, maka ulama telah berselisihan pendapat mengenainya. Di dalam membicarakan soal ini, ulama ada, antaranya, 3 maslak (cara penentuan hukum) dalam menentukan bilangan rakaat Terawih atau Qiyam Ramadhan.[7]
i. Maslak Muhadditsiin (ahli Hadits)
ii. Maslak Usuliyiin (ahli Usul Fiqh)
iii. Maslak Fuqahaa (ahli Fiqh)
Ulama golongan Muhadditsiin ialah golongan yang cenderung untuk menentukan sesuatu dengan berpandukan dalil yang terkuat. Sekiranya ada hadits yang paling kuat, itulah yang menjadi pegangan atau sandaran mereka, manakala hadits yang tidak sama derajat kekuatannya dengan hadits yang kuat tadi adakalanya mereka ketepikan. Bagi mereka cukup dengan hadits yang paling meyakinkan tadi, yang tidak dapat diatasi oleh hadits lain.
Demikianlah kecenderungan mereka, yang sebenarnya kembali kepada bidang kemahiran yang mereka ceburi, yakni bidang hadits serta sikap mereka mengamalkan yang paling jelas berdasarkan hadits yang paling kuat di dalam sesuatu masalah, demi ketaatan mereka kepada Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam.
Ulama Usul pula, mereka adalah golongan yang cenderung untuk mengumpulkan dalil-dalil sebanyak mungkin, lalu mereka mengambil jalan pertengahan bilamana mampu ataupun merajihkan (kecenderungan untuk meyakini lantas mengamalkan) dalil yang terkuat dengan mengenepikan dalil yang lemah ataupun mereka kembali kepada tarikh/sejarah untuk memastikan samada terdapat hadits atau hukum yang telah dimansukhkan sehingga mereka dapat berhukum dengan hadits yang Nasikh. Inilah yang dikenali sebagai “Al-Jam’u, At-Tarjieh, An-Naasikh wal Mansukh”.
Di sisi mereka, yang diutamakan ialah Al-Jam’u, kerana ia bererti mengamalkan dalil atau hadits-hadits Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam sebanyak mungkin. Mengamalkan 2 hadits yang sama kuat atau hampir setaraf adalah lebih utama dari mengamalkan 1 hadits sahaja biarpun hadits tersebut paling kuat. Bererti berdasarkan bidang mereka, mereka juga cuba melaksanakan seberapa banyak yang diperolehi dari ajaran Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam, demi kepatuhan mereka kepada Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam.
Adapun Ulama yang bergelar Fuqahaa, mereka lebih cenderung kepada cara Usuliyiin. Malah lebih dari itu, bilamana mereka menemukan hadits dhoif yang memenuhi syarat-syarat hadits dhoif yang boleh diamalkan (bukan yang tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, yang tidak boleh diamalkan), mereka berpandukan kepadanya, kerana ia lebih utama dari merujuk kepada akal atau pendapat peribadi semata-mata. Hadits-hadits dhoif tetapi banyak, memberikan mereka kepercayaan yang lebih.
Mereka tidak sembarangan memutuskan sesuatu, sebaliknya menentukan bilangan sesuatu menurut apa yang mereka nilai dengan ilmu mereka yang menyeluruh mengenai Syari’at (ini bermakna mereka telah mencari dalil sepuas-puasnya).
Sebagai contoh, Fuqahaa menetapkan bahawa bahagian terakhir dari hadits “Telaga Budho’ah”[8], adalah dhoif atau lemah. Yang mana hukum asal hadits lemah ialah ia tidak boleh diamalkan. Namun ia lebih baik dari menggunakan akal mereka semata-mata. Bahkan, mereka ijma’ (sepakat) bahawa ia diamalkan dari sudut maknanya.[9] Iaitu masalah air yang tidak berubah warna, rasa dan baunya walaupun ia dicampuri bahan yang kotor dan najis. Mereka menetapkan berdasarkan bahagian yang lemah dari hadits itu, bahawa air yang banyak (melebihi 2 qullah) tidak terjejas kesuciannya walaupun dicampuri najis selagi rasa, warna dan baunya tidak berubah.
Akan tetapi, perlu diingatkan bahawa ada hukum dan syarat-syarat untuk mengambil hadits dhoif sebagai sandaran. Oleh itu usahlah kita keliru.“اعط القوس باريها" maksudnya serahkan sesuatu itu kepada ahlinya. Ilmu hadits diserahkan, dirujuk kepada ahli hadits bukan abid (ahli ibadat). Kalau kita sakit jangan ke bengkel dan sekiranya kereta kita rosak, jangan hantar ke klinik.[10]
Kesimpulannya Ahli Hadits terutamanya, menetapkan bilangan rakaat Terawih atau Qiyam Ramadhan sebanyak 11 rakaat (8 tahajjud 3 witir). Ahli Usul pula antaranya, memutuskan bahawa tiada had atau bilangan tetap bagi jumlah rakaat Terawih atau Qiyam. Boleh dilakukan 8 atau 20 atau 36 ataupun kurang dari itu. Adapun Fuqaha, kebanyakan mereka menetapkan 20 rakaat (bukan suatu kemestian di sisi mereka), sebagai bilangan yang digalakkan agar umat Islam tidak meremehkannya. Oleh kerana pendapat ini yang menjadi masyhur, sebab itulah kita dapati kebanyakan umat Islam di merata dunia melakukan demikian. Wallahu a’lam.
Ahli Hadits : 8 rakaat (Terawih atau Qiyam) dengan 3 witir = 11 rakaat.
Ahli Usul : Tiada ketetapan kerana banyaknya bilangan rakaat yang berbeza di dalam riwayat-riwayat.
Ahli Fuqahaa : 20 rakaat 3 witir = 23 rakaat.
Namun, yang utama dan penting ialah kita melaksanakannya dengan penuh keimanan dan keinsafan, mengenang amalan kita amat sedikit untuk dijadikan bekalan menghadap Allah kelak. Yang sedikit tetapi sempurna adalah lebih utama dari banyak tetapi jelek. Begitu pula yang banyak kerana rajin adalah utama dari yang malas. Maka barangsiapa yang menghidupkan malam Ramadhannya dengan penuh keimanan dan memperhitung amalannya dengan insaf adalah yang utama sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam.
Dari Abi Hurairah (semoga Allah meredhai beliau) yang telah meriwayatkan:
“Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam sentiasa menggalakkan solat malam Ramadhan tanpa memberatkan mereka (para Sahabat) maka baginda bersabda :"من قام رمضان إيمانا و احتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه" ertinya: "Barangsiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan menghitung diri (yang sedikit amalan lalu mengharapkan ganjaran baik) akan diampunkan dosanya yang telah lalu"
Demikianlah keadaannya (Terawih tidak dilakukan berjemaah - Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam mengimamkan para Sahabat Qiyam Ramadhan hanya 3 malam sahaja seumur hidup baginda sebagaimana hadits Abu Dzarr tadi, kerana khuatir Qiyam Ramadhan akan difardhukan) sehingga Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam wafat, begitu pula semasa khilafah Abi Bakar radhiyalLaahu 'anhu dan bahagian awal dari masa pemerintahan Umar radhiyalLaahu 'anhu.” [Diriwayatkan Muslim, al-Bukhariy, Abu Dawud dan lain-lain - hadits shohih]
Selanjutnya kita teliti apa yang telah dijelaskan oleh Imam Ibn Rusyd رحمه الله(520-595H) dalam kitab beliau ‘Bidaayatul Mujtahid’; (maksudnya):
“Salah satu pendapat Imam Malik, demikian juga pendapat Imam-imam Abu Hanifah, Asy-Syafi’ee, Ahmad dan Dawud رحمهم الله, ialah mereka memilih untuk menetapkan bilangan rakaat (Qiyam) sebanyak 20 rakaat (yakni) tanpa Witir. Ibnul Qaasim pula telah meriwayatkan bahawa Imam Malik رحمه الله memandang baik bilangan 36 rakaat sebagai jumlah rakaat Qiyam dengan 3 rakaat Witir.
Adapun sebab perselisihan pendapat mereka ialah riwayat-riwayat yang mereka terima mengenainya. Imam Malik telah meriwayatkan dari Yazid bin Rumaan, yang telah meriwayatkan bahawa umat Islam pada zaman Umar bin Al-Khatthab melakukannya sebanyak 23 rakaat...
........[Syeikh Al-Albaaniy dan ulama lain sebelum beliau telah menghukumkan hadits ini sebagai riwayat yang bercanggah dengan riwayat yang sahih, yang menjelaskan Umar sendiri memerintahkan dilakukan secara berjemaah sebanyak 11 rakaat.
Adapun riwayat yang ‘Syaadzdzah’ yakni ganjil lagi bercanggah tadi, tidak menjelaskan bahawa Umar yang memerintahkan, malah ia sekadar meriwayatkan “umat Islam pada zaman Umar”, sedangkan riwayat-riwayat yang shohih menjelaskan Umar memerintahkan 11 rakaat.
Demikian juga, dijelaskan bagaimana tiada satu riwayat pun yang sahih, yang menerangkan bahawa dalam kalangan Sahabat, ada yang lakukan 20 rakaat. Begitu pula dakwaan mereka yang mengatakan para Sahabat dan para Imam telah ijma’ menetapkan 20 rakaat, adalah dakwaan tidak berasas. Umat Islam dinasihatkan untuk mengkaji sebelum menghukum, apatah lagi jika hukum itu akan diikuti oleh sebuah masyarakat]....
.......Ibn Abi Syaibah pula telah meriwayatkan dari Dawud bin Qais yang meriwayatkan bahawa beliau mendapati umat Islam di Madinah pada zaman Umar bin Abdul Aziz dan Abaan bin Utsman (bin Affaan) mendirikan solat qiyam sebanyak 36 rakaat dan berWitir sebanyak 3 rakaat...” [11]
Berikut adalah hadits-haditsnya yang menerangkan tentang bilangan rakaat solat Nabi sollalLaahu 'alaihi wa sallam:
‘Aaisyah رضي الله عنها telah ditanya tentang solat baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam pada bulan Ramadhan maka beliau menjawab:
“Rasulullah tidak pernah menambah, baik pada bulan Ramadhan mahupun bulan lainnya, lebih dari 11 rakaat. Baginda solat 4 rakaat, maka usahlah ditanya tentang tertib dan kesempurnaannya serta panjangnya, kemudian 4 rakaat lagi maka usahlah ditanya tentang tertib dan kesempurnaannya serta panjangnya, kemudian baginda solat 3 rakaat.”
[diriwayatkan oleh Imam-imam Al-Bukhaariy dan Muslim serta lainnya رحمهم الله].
Dibolehkan bagi seseorang untuk mengurangkan bilangan rakaat tadi kerana apa yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sollalLaahu 'alaihi wa sallam dan baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam juga telah bersabda:
) الوتر حق ، فمن شاء فليوتر بخمس ، و من شاء فليوتر بثلاث ، و من شاء فليوتر بواحدة (
maksudnya: “Solat Witir itu dituntut. Maka barangsiapa yang ingin melakukan Witir 5 rakaat lakukanlah, barangsiapa yang suka berwitir 3 rakaat lakukanlah dan barangsiapa yang berkehendak untuk berwitir 1 rakaat lakukanlah.”
[Diriwayatkan oleh Imam-imam Ath-Thohaawi, Al-Haakim dan lainnya dan ia adalah hadits yang sahih isnadnya, sebagaimana yang dihukumkan oleh segolongan Imam رحمهم الله].
Adapun perbuatan baginda sollalLaahu 'alaihi wa sallam, maka sebagaimana yang diberitakan oleh isteri baginda ‘Aaisyah رضي الله عنها (semoga Allah meredhai beliau) ketika ditanya, berapakah bilangan rakaat Rasulullah r melakukan Witir?
“Adakalanya baginda berwitir 4 rakaat dengan 3 rakaat, atau 6 rakaat dengan 3 rakaat ataupun 10 rakaat dengan 3 rakaat dan tidak pernah baginda mengurangkan witir dari 7 (rakaat) dan tidak pula lebih dari 13 rakaat.”
[maksud hadits yang diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud, Ahmad dan lainnya dan ia adalah hadits yang baik sanadnya, yang telah dihukumkan sahih oleh Imam Al-’Iraaqi رحمهم الله].
Abdur Rahman bin ‘Abdin Al-Qaariy telah meriwayatkan:
“Saya menemani Umar bin Al-Khatthab untuk pergi ke masjid, pada suatu malam Ramadhan, maka kami dapati manusia berkelompok dan berpecah-belah. Ada orang solat sendirian, ada pula yang diikuti jamaah kecil, maka Umar pun berkata :
< Demi Allah, kalau aku satukan mereka dengan seorang imam tentunya ia lebih elok > .
Kemudian beliau melakukannya dengan melantik Ubaiy bin Ka’ab sebagai imam mereka. Pada suatu malam lainnya aku keluar lagi bersamanya (Umar), sedang manusia melakukan solat mengikuti imam mereka, maka berkatalah Umar :
< Alangkah baiknya (bid’ah) perkara baru ini [12] dan mereka yang tidur sekarang ini, (sebenarnya) melakukan yang lebih utama dari mereka yang sedang solat (kerana inginkan saat-saat terakhir malam) >
sedang manusia waktu itu kebanyakkannya mendirikan solat pada awal malam.”
[diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhaariy dan lainnya رحمهم الله].
Kesimpulannya, ini suatu perkara yang setiap muslim perlu berlapang dada, memilih yang terbaik dan paling dekat dengan hati dan ketaqwaannya serta kemampuannya dan tidak menjadikan perselisihan ini punca sengketa, saling mencemuh atau mencela apatah lagi perpecahan.
Ada sebahagian jemaah mampu ikuti tanpa memudaratkan diri kesemua solat, Terawih sejurus lepas Isyak (23 rakaat) dan Tahajjud/Qiyam mula sekitar jam 1 pagi hingga 1 jam sebelum Subuh dengan mengambil pendapat ulama golongan Fuqaha' dan Usuliyyun.
Ada pula jemaah yang hanya mampu ikuti 23 rakaat selepas Isyak tanpa mengikuti Tahajjud/Qiyam dan mungkin sekali gus mengikuti kesimpulan Fuqaha.
Sebahagian yang lain mahukan kekuatan untuk ikuti Qiyam 11 rakaat pada penghujung malam dan tidak mengikuti Terawih sejurus selepas Isyak, malah tidur, ikut kata-kata 'Umar dan zahirnya menuruti kesimpulan Muhadditsiin.
Semuanya mengikuti dalil-dalil dan penjelasan ulama. Yang membuat bid'ah ialah yang menetapkan sesuatu tanpa dalil dan mencanggahi panduan ulama. Wallahu a'lam.
[1] Sila lihat hadits Al-Majmuu’: 4/51 nash Imam Asy-Syaafi’ee dalam Al-Umm yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi.
[2] gelaran Habibullah, Yaasin, Taha tidak warid - tidak terdapat di dalam lafaz Al-Quran dan As-Sunnah tidak pula kata-kata para Sahabat dan Imam-imam ulung, yang digunakan sebagai gelaran baginda - walaupun ada yang menggelar baginda demikian - namun, ia adalah hasil dari pendapat sebahagian ulama, biarpun ia masyhur, tetapi bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan yang terbaik ialah gelaran yang baginda berikan sendiri buat diri baginda. Begitu pula baginda pernah melarang beberapa gelaran buat diri baginda maka berwaspadalah kita.
[3] Bidayaatul Mujtahid: 1/210.
[4] Mu’jam Lughatul Fuqahaa: 127
[5] Bidayaatul Mujtahid: 1/210.
[6] Mu’jam Lughatul Fuqahaa: 127
[7] Penjelasan seperti ini, didapatkan dari beberapa orang ulama di Mekkah, Madinah dan Qashiem serta Riyadh. Antaranya, mantan Qadhi Madinah Asy-Syeikh ‘Athiyah Muhd Saalim yg mengajar di Masjid Nabawi, semoga Allah merahmati beliau. Kebanyakkannya didapatkan menerusi ceramah & kuliah, maka tidak dapat didatangkan di sini bahan rujukannya. Wallahu a’lam.
[8] Rujuk Bulughul Maram: hadits no: 3.
[9] Sebagaimana yang dijelaskan oleh Asy-Syeikh Al-Bassaam di dalam Taudhiihul Ahkaam: 1/93, dengan mendatangkan nas-nasnya daripada para Imam besar seperti An-Nawawi, Ibn Hibbaan dan lainnya
[10] Perhatian : Tetapi ini tidak boleh dijadikan hujjah bagi orang-orang yang mempelajari ‘Ilmu Tasauf/Tarekat’ kononnya, sehingga guru Tarikat yang sesat dikatakan sebagai ahli bidangnya, sedangkan guru itu meninggalkan solat, melakukan berbagai perkara yang bercanggah dengan Syari’at ajaran Nabi Muhammad, mentafsirkan Al-Quran dan As-Sunnah dengan pentafsiran yang menurut nafsunya - kononnya yang tersirat/bathin. Hujjahnya, Ulama Syari’at tidak boleh menghukumnya sesat kerana mereka bukan ahli bidang Tarekat/Tasauf untuk menghukum guru tersebut yang merupakan ahli bidang Tasauf/Tarekat.
Fahamilah, ulama Syari’at adalah para Sahabat, Imam-imam besar seperti Asy-Syaafi’ee dan Malik, dan yang mengikuti ajaran mereka, yang tidak pernah meninggalkan solat dan memelihara diri dari segala percanggahan dengan Nabi. Sentiasa menjauhi segala bid’ah seperti yang dilakukan guru-guru Tarekat itu. Jika ada orang Tarekat yang tidak setuju, buktikanlah adanya Sahabat atau Imam besar yang membenarkan segala percanggahan tersebut. Wallahu a'lam.
Waspadalah kita dari menuruti hawa nafsu di dalam melaksanakan agama ini, menghukum ulama-ulama besar sebagai jahil sedang guru kita yang tidak tahu bahasa Arab pun dianggap ahli ilmu. Jangan sampai kita menyesal di Akhirat kelak.
[11] Bidayatul Mujtahid: 1/210
[12] tentunya bid’ah dari segi bahasa, kerana perkara baru dari segi Syara’, yakni di dalam urusan agama, adalah bid’ah dan tidak mungkin Sayidina Umar melakukan bid’ah, sebab beliau hanya menghidupkan kembali Sunnah berjemaah

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.