Teringat pula masa belajar dulu, penyampaian Ustaz mengenai salahguna Kaedah-kaedah Fiqh (Qawa'id Fiqhiyah), contoh-contoh yang Ustaz berikan.
1. Kaedah Fiqh ini, umpama ubat yang diketahui dan ditentukan ahli perubatan seperti para doktor agar ia bermanfaat tidak mudarat. Sepertimana ubat, apabila bukan ahlinya yang pandai-pandai menentukan cara pemakanannya, ubat itu boleh jadi mudarat, malah membunuh menyebabkan kebinasaan. Maka begitu juga Kaedah Fiqh, jika bukan ahlinya yang pandai-pandai menerapkannya pada persoalan atau masalah agama.
Misalnya, bila Doktor berpesan "ubat ini dimakan, setiap 8 jam, 2 biji sahaja", lalu orang yang memakan ubat itu, pandai-pandai menentukan: "aku makan 2 biji tadi terus ada rasa lega sikit. Baik aku makan 8 biji setiap 2 jam, tentu cepat baik dan hilang rasa sakit". Mungkin benar "hilang rasa sakit sakit selepas sakitnya sakaratul maut". Binasa. Aniaya diri sendiri.
Dengan misal itu tadi, begitulah bila Kaedah Fiqh, misalnya: "ad-Dhorūrah tubīh al-Mahdzūrāt" ertinya "Keadaan darurat (kesempitan dan kesusahan yang menjadikan seseorang tiada pilihan), membolehkan perkara (yang asal hukumnya) terlarang (jika tiada keadaan darurat tersebut)".
Namun ada kaedah lain yang memahamkan erti darurat, yakni, "ad-Dhorūrah tuqaddar bi qadarihā" setiap darurat itu diperlakukan mengikut anggarannya.
Maka bukannya yang Haram bertukar jadi Halal. Sungguh teliti ulama' dalam membuat ungkapan kaedah, sebab hukum asal Haram tidak berubah, cuma diizinkan, bukan berubah hukum jadi Halal, disebabkan keadaan darurat. Bilamana tiada darurat atau darurat itu kemudiannya lenyap, hukum asal tetap berlaku.
Misal yang Ustaz berikan:
Dalam keadaan darurat tiada makanan yang halal. Anggaran darurat itu semestinya difahami, apa jua tumbuhan, haiwan ternakan dan sumber makanan halal tiada lagi, maka yang ada hanya BABI KHINZIR dan BANGKAI, maka ketika itu, diizinkan makan bangkai atau BABI yang haram demi menyelamatkan nyawa daripada mati kebuluran.
Begitu pun, makan BABI itu untuk orang yang terpaksa atau darurat, bukannya sampai bebetong sendawa kekenyangan, hanya syarat untuk selamatkan jiwa. Bukan pula bila disebut keadaan terpaksa, ia suka menikmati dengan penuh kelazatan hingga menjilat jari. Malah ia benci, terpaksa, ala kadar atau berpada-pada tidak berlebihan. Ustaz suruh rujuk ayat-ayat berikut: (al-Baqarah: 173, al-An'ām: 145, an-Nahl: 115)
Maka jika jadi suka atau "alah bisa tegal biasa" (asalnya rasa berat, Haram, akhirnya sudah terbiasa jadi tiada rasa bersalah malah rasa hukumnya Halal) atau berlebihan, dikhuatiri tentunya masih berdosa, sesuai petunjuk ayat-ayat tadi.
Namun, dalam bidang kedoktoran, rasanya seperti tiada Doktor yang menentukan sesuatu ubat untuk disalahgunakan oleh pengguna atau pesakit. Dalam bidang agama, malangnya, ada yang dianggap alim yang menyalahgunakan kaedah fiqh untuk merubah hukum Allah.
Jika dalam misal tadi, orang yang makan ubat itu aniaya dan binasakan dirinya sendiri sahaja.
Ahli agama yang dijadikan rujukan masyarakat dan umat, membinasakan dan menganiaya umat dengan kaedah fiqh yang salah diterapkan dan hukum yang "diubah".
Isu makan yang Haram ini, dapat dikenakan pada Makan Riba dan yang seumpamanya.
2. Misalnya dikatakan seseorang mendapat undangan dan duduk di meja yg dihidangkan Arak dan Babi, mana yang sepatutnya ia pilih antara 2 benda yang haram ini.
Lalu digunakan kaedah "al-akhdzu bi akhaffid dhararayn" (diterjemahkan dalam English sebagai: lesser of 2 evils...ingat, kedua-duanya Evils) atau "memilih dan mengambil yang lebih ringan dalam bandingan kemudaratan yang ada pada 2 perkara" maka dijelaskan, makan babi lebih ringan berbanding minum Arak, sebab apabila ia minum Arak, berkemungkinan ia jadi mabuk dan bila dah mabuk, hilang akal, ia mungkin akan lakukan perkara-perkara haram lainnya termasuk memakan BABI yang dihidangkan dan boleh jadi memudaratkan dirinya dan yang lain. Ini semua tidak berlaku jika ia pilih memakan BABI.
Sebenarnya, daripada awal, keadaan itu tidak timbul untuk ia membuat pilihan, jika ia tidak menyahut undangan tersebut. Malah haram sebenarnya untuk ia menghadirinya apabila ia tahu akan dihidangkan kedua-dua benda haram tersebut. Pilihannya sebenarnya pada tidak menghadirinya atau beredar tinggalkan meja tersebut ketika dihidangkan dan bukannya "terpaksa" pilih.
Itulah Ustaz kata sebagai kesimpulannya...yang sebenarnya dia memang hendak makan BABI, cuma beralasan dengan menyalahgunakan Kaedah Fiqh. Syaitan akan memperhias indah, sehingga dilihatnya amalannya, kesimpulan hukumnya nampak berasaskan ilmu dan ilmiyah dengan menyebut Kaedah Fiqh. Seperti halnya, Doktor yang tahu nama ubat dan kegunaannya serta kesan baik dan buruknya, kita hanya terima saranan dan amalkan pesanan Doktor. Begitulah juga bila Kaedah Fiqh digunakan, orang awam tidak begitu mengerti dan hanya ambil kesimpulan hukumnya sahaja.
Masalah lainnya...dia sendiri kadang tidak mahu makan BABI, tapi mengajarkan orang kononnya keadaan darurat..."sila, silalah makan BABI, makanlah puas-puas sampai kenyang...nak tambah lagi pun boleh!" Dia tidak menjamah pun...katanya: "yang penting aku selamat, keluarga aku pun selamat".
Adapun sikap orang awam yang dikurniakan petunjuk dan iman, menilai dan meneliti dengan baik-baik, ia akan mampu melihat "penyalahgunaan" ini.
Berbeza dengan orang awam yang memang tunggu peluang untuk dapat menjamah BABI, ingin sangat merasa BABI dan mengisi perut dengannya, tentunya mengalu-alukan kesimpulan BABI dan BANGKAI, halal dimakan, darurat.
Wallaahua'lam. Semoga kita semua mengambil iktibar.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.