Saturday, 10 October 2020

Panduan Nabi Menjamin Kerukunan Rumahtangga

Rumahtangga menghimpun dan menyatukan 2 insan berlainan (lelaki dan perempuan) daripada "2 bumbung" yang berlainan, yang melalui 2 perjalanan hidup yang berasingan, dibesarkan, bergaul dan bercampur dengan 2 suasana latar belakang kehidupan di dalam rumah dan sekitaran pendidikan yang berbeza, apatah lagi kalau dari dua bangsa, adat resam yang berlainan.

Maka pastinya "Alam Kehidupan Rumahtangga" ada cabarannya untuk kedua-dua suami isteri menyesuaikan dan memadankan diri untuk hidup aman bahagia. 

Kita tumpukan pada sang suami, bagaimana panduan Nabawi berikut ini, membantunya menjadi suami yang berusaha menjadi baik kepada isterinya dengan berbekalkan iman dan kesabaran serta muhasabah diri.

Semoga bermanfaat.

1. Hadis Nabi ﷺ: 

فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ ، تُكَفِّرُهَا الصَّلاَةُ وَالصَّوْمُ وَالصَّدَقَةُ ، وَالأَمْرُ وَالنَّهْيُ

"Fitnah (ujian) seorang lelaki pada keluarganya, hartanya dan jirannya dihapuskan dengan solat, puasa dan sedeqah.” 

HR al-Bukhāriy no: 511.

Pengajarannya: apa yang dihadapi oleh seseorang suami, mendapat ujian dengan sikap atau perbuatan mahupun kata-kata isterinya, yang tidak atau kurang menyenangkan, semuanya ujian. Hendaklah dinilai ujian itu sebagai asam garam kehidupannya untuk ia mendapat ampunan atau mendapat pahala atau ditinggikan derajatnya. Maka dengan itu ia bersabar dan muhasabah diri lebih berbanding "mempersalahkan" isterinya. Namun bukannya ia tidak menegur, memperbetul dan menasihati serta meluruskan isterinya.

2. Sabda Nabi ﷺ:

 لا تؤذي امرأة زوجها في الدنيا إلا قالت زَوْجَتُهُ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ لاَ تُؤْذِيهِ قَاتَلَكِ اللَّهُ فَإِنَّمَا هُوَ عِنْدَكِ دَخِيلٌ يُوشِكُ أَنْ يُفَارِقَكِ إِلَيْنَا

“Tiada seorang isteri yang  menyakiti suaminya di dunia, kecuali akan berkata bakal pasangannya daripada golongan bidadari:

“Jangan engkau sakitinya. Semoga Allah mencelakakanmu kerana ia bersama mu hanya bersinggah sementara, tidak lama lagi akan berpisah dengan mu untuk bersama kami.”

At-Tirmidzi menyatakannya Hadis Hasan dan Syeikh Saleem al-Hilaly menyatakannya Sahih (Bahjat an-Nazhireen Syarah Riyadhus Soliheen). 

HR Tirmidzi 1174, Ibnu Mājah 2014 dan Ahmad 5/242

Pengajarannya: Berbekal imannya kepada balasan hebat yang Allah sediakan, ia bersabar dan mengharap serta berdoa, benar adanya bidadari yang berkata demikian ketika ia diuji dengan sesuatu yang menyakitinya akibat perbuatan atau kata-kata mahupun sikap isterinya.

Alangkah aman sentosa harmoni dan berbahagia rumahtangga yang pasangannya saling mengharap ganjaran baik di akhirat ketika "bersengketa" dan sentiasa berusaha lakukan yang terbaik untuk pasangannya.

Wallahu A'lam

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.