Semoga Allah pelihara kita semua dan Guru2 kita yang masih hidup daripada sikap berbahaya ini.
Kata Prof Mahmud Abdur Rahman Qadah (Timb Rektor Univ Islam Madinah) hafizhohullāh dalam buku (terjemahan) "Asas2 Pegangan ASWJ":
Perkara pertama yang menjadi tanggungjawab Ahli Sunnah wal Jamaah ialah memahamkan manusia aqidah dengan dalil-dalilnya daripada Al-Quran dan As-Sunnah sehingga sebati dalam jiwa serta menjadikan mereka waspada daripada bid’ah.
Tetapi, bagaimanakah pula cara Ahli Sunnah wal Jamaah menangani masalah bid’ah? Terdapat beberapa cara menanganinya.
Imam Asy-Syaafi‘iee telah berkata:
"ما ناظرت أحدا علمت أنه مقيم على البدعة"
maksudnya: “Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang yang telah aku ketahui (kenali) sebagai seorang yang bersikeras atas bid‘ah”
[Manaaqib asy-Syaafi‘ie karya Imam al-Baihaqiy (wafat: 458H): 1/175]
Perlu dijelaskan di sini, apakah hukum berdebat? Apakah ia dibenarkan atau tidak? Sekiranya ia dibenarkan, apakah ia secara mutlak tanpa syarat atau ada syarat-syarat tertentu yang membolehkannya?
Jika kita meneliti kata-kata as-Salaf dan keadaan mereka, kita akan dapati secara zahir, nas-nas (ucapan) mereka yang menunjukkan semacam keengganan atau penolakan, sepertimana yang kita dapati pada kata-kata Imam Asy-Syaafi’ie tadi. Namun, kita dapati dalam riwayat hidupnya, Imam Asy-Syaafi’ie pernah berjidal (berdebat) dengan seorang
ahli bid’ah mengenai fahaman yang mendakwa bahawa Al-Quran adalah makhluk. Hasil perbahasan tersebut, Imam Asy-Syaafi’ie telah mampu memahamkannya malah langsung menyebabkan ahli bid’ah itu terdiam.
Maka apakah pula yang dimaksudkan oleh Imam Asy-Syaafi’ie dengan kata-katanya “Aku tidak pernah berdebat...”, sedangkan beliau sendiri pernah berdebat? Sekiranya kita teliti
kekata beliau itu, maka dapat difahami bahawa yang dimaksudkan adalah, apabila kita telah kemukakan kepada orang tersebut segala
hujjah serta dalil Al-Quran dengan jelas, tetapi akhirnya, ia tetap tidak mahu berganjak malah berdegil dengan pendapat serongnya, maka sewajarnya orang ini disifatkan sebagai orang yang tidak guna untuk diajak berbincang atau berdebat. Malah, ianya adalah berbahaya lagi memudaratkan.
Ia amat merbahaya kerana misalnya, apabila kita berbahas di khalayak ramai dengan orang yang bersikeras itu, besar kemungkinan, akan tersebar fitnah bid’ah tersebut dalam kalangan masyarakat. Ini merupakan satu gejala yang amat buruk. Betapa tidak, sebab Syaitan berkeliaran di dalam badan manusia (menghasut dan menggoda) sebagaimana perjalanan darah manusia, sepertimana maksud sebuah hadits Nabi ﷺ.
Gambarkan, sekiranya anda berbahas dengan seorang ahli bid’ah yang mahir berpidato lagi licik dalam putar-belitnya sehingga mampu menegakkan benang yang basah, lantaran itu, anda tewas di tangannya sedang khalayak ramai menyaksikan yang demikian itu.
Walaupun anda membawa obor kebenaran, namun, masyarakat yang kurang berilmu akan terpengaruh dengan ahli bid’ah itu, lagi mudah dikelirukannya dengan pandangan zahir. Syaitan pula, pasti akan memperindahkan kebathilan itu sehingga tampak seperti kebenaran pada pandangan masyarakat dan ahli bid’ah itu.
Justeru itu, Ahli Sunnah wal Jamaah amat berwaspada terhadap bid’ah serta ahli bid’ah. Juga menjauhi diri dari berbahas dengan mereka, apatah lagi untuk mencampuri mereka, sepertimana yang dikatakan oleh Imam Asy-Syaafi’ie begitu juga imam-imam yang lain, kecuali dengan syarat-syarat dan keadaan tertentu.
Maka, jika anda melihat seseorang melakukan bid’ah, adalah menjadi kewajipan anda menegurnya. Tetapi, jika anda telah mengetahui bahawa orang tersebut adalah ahli (pengamal tetap yang bersikeras atas) bid’ah, lagi berdegil, maka jauhilah ia.
Akhir nukilan.
Syeikh Bakr Abu Zayd rahimahullāh juga telah menegaskan perkara yang sama (Kitab at-Ta'ālum hlm 93 pada bahagian ulasan) mengingatkan agar tidak melayani dan menghindari golongan yang tidak menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sandaran hujjah, sebab tiada faedahnya.
Malah Imam al-Lālakāi (wafat 418H) juga menjelaskan dengan tegas perkara tersebut dalam kitab "Syarh Usūl I'tiqād Ahlis Sunnah": 1/19, menegur dengan keras dan menyifatkan perdebatan dan perbahasan seperti ini sebagai suatu jenayah terhadap masyarakat kaum Muslimin. Jenayah itu difahami seperti yang telah dijelaskan oleh Prof Mahmud Qadah.
WalLaahua'lam.
Semoga bermanfaat
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.