Golongan yang paling banyak berselawat dan yang berada di atas kebenaran
Kata al-'Allaamah Shiddeeq Hasan Khaan (wafat 1307H) rahimahullaah dalam Nuzulul Abraar bil 'Ilm alMakthoor fee al-Ad'iyati wal Adzkaar:
“Umat baginda ﷺ yang paling banyak berselawat ke atas baginda ﷺ adalah para Ahli Hadits...samada di dalam al-Jawaami’, al-Masaaniid, al-Ma’aajim, al-Ajzaa' dan lainnya... Merekalah manusia yang paling berhak untuk diselamatkan oleh baginda ﷺ, yang paling berbahagia pada Hari Kiamat dengan Syafa’at baginda ﷺ......”
Kata Abul Hasanaat Al-Lucknowee (wafat 1304H) rahimahullaah di dalam “Imaamul Kalaam fiemaa ya ta’allaqu bi qiraa-ati khalfal Imaam” mks 156:
"Sesiapa yang mengamati dengan pengamatan yang adil, disertai pengajian lautan fiqh dan usool yang luas, sambil mengelakkan pengamatan yang berat sebelah, pasti ia mengetahui dengan ilmu yang diyakini bahawa kebanyakan perkara-perkara cabang dan usool yang dipertikaikan ulama, maka madzhab para Ahli Hadits ternyata lebih kuat dari madzhab lainnya. Sungguh saya setiap kali menjejaki cabang-cabang perselisihan, saya dapati pendapat muhadditsien (Ulama Hadis) yang paling dekat dengan kebenaran dan tidak berat sebelah, maka bagi Allah segala pujian atas sikap mereka."
‘Umar bin al-Khattab (wafat 23H) radhiyalLaahu 'anhu telah berkata:
Ertinya: “Sesungguhnya golongan Ahlu ar-Ra’yi (suka bergantung kepada pendapat-pendapat dan penilaian akal semata-mata) adalah musuh-musuh as-Sunnah, mereka keberatan dan tiada kesanggupan untuk menghafaznya (as-Sunnah) dan malu ketika ditanya orang untuk menjawab: Kami tidak tahu, lalu mereka menolak as-Sunnah dengan bergantung kepada pendapat mereka maka waspadalah kamu dan hendaklah mereka berwaspada.”
[Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm. 416 (perenggan 1440)]
Beliau juga berpesan:
“Pelajarilah as-Sunnah…”
[Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm.473 (1666), hlm. 403 (1374) – Riwayat Ibn Abi Syaibah (10/459, 11/236), ad-Dārimi (2/341), Sa‘ied bin Mansur (as-Sunan: 1/1), al-Bayhaqi (as-Sunan: 6/209)]
“As-Sunnah! Hanya Sunnah Allah dan RasulNya dan jangan kamu jadikan kesilapan pendapat yang silap suatu sunnah untuk ummah!” [Sahih Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Fadlihi, hlm.416 (1441)]
Imam Sufyān bin Sa‘ied al-Tsauri (98-161H) rahimahullaah telah berkata:
“Para malaikat adalah pemegang amanah (orang kepercayaan) Allah di langit dan para Ahli Hadis adalah pemegang amanah Allah di bumi" [Syaraf As-hāb al-Hadīts: 2/36]
Dalam Kitab ‘Aqiedah as-Salaf As-hāb al-Hadīts karangan Imam Ismā‘iel as-Sabūni (w:449H) rahimahullaah disebutkan nas-nas berikut:
Kata Ibnul Mubārak rahimahullaah (w: 181H):
“Menurut pendapat ku, mereka (Ahli Sunnah) adalah para Ahli Hadis.”
Kata al-Bukhāriy rahimahullaah (w: 256H):
“Ibnul Madienie menegaskan: Mereka (Ahli Sunnah) adalah Ahli Hadis”.
Kata Ahmad bin Hanbal rahimahullaah (w: 164H):
“Jika golongan yang diberi sokongan pertolongan dan pembelaan Allah bukan para Ahli Hadis, maka aku tidak tahu siapa lagi selain mereka (yang layak digelarkan demikian)”.
Kata as-Syaikh ‘Abdul Qādir al-Jilāni - ‘alim yang zuhud, yang diteladani, terkenal sebagai penghulu wali-wali, Imam Muhyiddien, Abu Muhammad, ‘Abdul Qadir bin Abi Salih, al-Hanbali, Syeikh Baghdad, al-Jielaniy al-Baghdadi, lahir tahun 471 dan wafat tahun 561H. Ulasan al-Imam adz-Dzahabi (wafat 748H) mengenai as-Syaikh ‘Abdul Qādir al-Jilāni adalah bahawasanya beliau seorang alim yang mulia pada zaman beliau di Baghdad, namun terlalu banyak cerita dongeng dan dusta mengenai “karamah” dan keajaiban beliau yang diceritakan orang kebanyakan yang bermaksud mendewa-dewakan beliau, yang sebaliknya hanya “menjatuhkan” dan menghina beliau – dalam as-Siyar: 20/439 (5103):
“Adapun golongan “Yang Terselamat” (daripada kesesatan dan Neraka) maka mereka itu adalah Ahli Sunnah wal Jama‘ah dan tiada lain gelaran bagi Ahli Sunnah kecuali satu sahaja iaitu “As-hāb al-Hadīts” (para Ahli Hadis).”
Semoga Allah menghimpunkan kita kelak bersama golongan mereka dan mematikan kita dalam kecintaan kepada mereka dan jalan mereka.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.