Wednesday, 11 September 2019

Ikutilah jalan ajaran Sahabat


Sama-sama kita sentiasa menjadikan yang berikut ini sebagai pegangan kita, Firman Allah:
Ertinya: “Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka ikutilah jalan ini dan jangan kamu ikuti jpalan-jalan yang lain, kelak kamu akan berpecah dari jalanNya (yang satu itu)
[Al-Qur’an: Surah al-An‘aam: 6:153]

Tafsiran ayat ini, yang menunjukkan bahawa perpecahan adalah sesuatu yang dikeji dan buruk, kita dapatkan dari hadis Nabi ﷺ berikut ini.

Ibn Mas‘ud telah meriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi ﷺ telah membuat satu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah, kemudian baginda ﷺ membuat garisan yang banyak di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya (garisan yang satu tadi: jalan Allah) lalu bersabda: Adapun ini (garisan yang banyak) adalah jalan-jalan lain (selain jalan Allah), pada setiap jalan ini, ada Syaitan yang mengajak kepadanya dan Nabi ﷺ pun membacakan ayat (ertinya): Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus… kamu akan berpecah dari jalanNya (yang satu itu).

[HR Imam Ahmad (6/89), ad-Darimiy (1/67), al-Hakim (2/318) dan (2/239) dan beliau menghukumkannya Sahih serta disetujui oleh adz-Dzahabi, Ahmad Syakir dan lainnya].



Sabda Rasulullah yang bererti: “Umatku akan berpecah kepada 73 golongan semuanya binasa kecuali satu. Para Sahabat bertanya: Siapakah yang satu itu? Jawab baginda: Mereka yang berpegang dengan pegangan ku dan pegangan para Sahabat ku.

[HR at-Tirmidzi (5/26), al-Hakim (1/129) daripada ‘Abdullah bin Umar - tapi sanad periwayatannya Da‘ief. Namun ada periwayatan lain, yang Sahih dan banyak, bagi hadis ini sebagaimana ulasan Imam at-Tirmidzi antaranya yang beliau riwayatkan daripada Abi Hurairah (5/25), Abu Dawud (2/259) daripada Abi Hurairah dan Mu‘awiyah yang berderajat Hasan. Ibnu Majah (2/1321) daripada Abi Hurairah dan ‘Auf bin Malik – kesimpulannya hadis ini dapat dijadikan pegangan]

Pentingnya ikutan jalan ajaran Sahabat, untuk selamat dari jalan Syaitan. Demi kesejahteraan di dunia dan akhirat. Malah Rasulullah telah menjelaskan bahawa kita tiada pilihan jalan lain, kecuali jalan ikutan para Sahabat, itulah jalan yang satu, yang diperintahkan agar kita mengikutinya. Manakala jalan-jalan yang lain, selain menuju ke jalan yang satu itu, ada syaitan yang mengajak, perintis kesesatan dan penyelewengan yang menyeru manusia kepadanya.

Semoga Allah memelihara kita dengan RahmatNya yang Maha Luas. Wallahu a‘lam.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.